Aku hanya terdiam.. Mungkin lebih elok jika aku hanya berdiam dan membiarkan dia luahkan apa sahaja yang tersimpan sekian lama di dalam lubuk hatinya. Terlalu lama, hinggakan melahirkan satu daging yang busuk. Dan mencemari seluruh apa yang ada pada dirinya.
“Aku dah terlalu jauh dari Allah. Abang, adakah Allah dapat maafkan aku. Aku pernah hisap dadah, kacau perempuan, melawan mak ayah. Semua benda jahat aku pernah lakukan. Adakah aku dapat dimaafkan? Macam mana kalau aku ulangi balik perbuatan-perbuatan tu? Abang, aku harap kau dapat bantu aku. Aku tak nak macam ni lagi. Tolonglah.”
Aku terdiam.. Apa yang harus aku katakan?
“Akhi, saudaraku, Allah itu sentiasa sayangkan kita. Sebab tu kita ada di muka bumi ni sampai sekarang ni.. Buktinya, tu.. Kamu masih mampu mendengar apa yang abang katakan pada kamu sekarang ni. Maknanya kamu masih lagi diberi peluang kehidupan.. Nikmat bernafas, nikmat membaca, nikmat melihat. Masya-Allah. Itu baru sedikit. Tapi, sejauh mana kita mensyukuri benda-benda ni semua?”
+++
Nasihat untuk semua..
Allah sentiasa menanti kepulangan kita setelah kita terlalu jauh dari diri-Nya. Terpulang kepada kita sama ada kita mahu atau tidak. Kerana,
“Wahai anak-anak Adam, selagi mana engkau memohon dan mengharapkan daripada-Ku, Aku ampunkan engkau walau apa pun dosamu, Aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak langit, lalu engkau pohon keampunan daripada-Ku, Aku ampunkan engkau, Aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, jika engkau datang kepada-Ku dengan dosa yang hampir memenuhi bumi, namun engkau menemui-Ku tanpa mensyirikkan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku datang kepadamu dengan penuh keampunan."
[HR at-Tirmidzi, dinilai hasan oleh al-Albani]
Satu kata yang saya selalu ulang. Jangan pernah kita putus asa dengan rahmat Allah. Ya akh, mungkin kita pernah berdosa, bahkan setiap dari kita ada masalah serta sejarah dia masing-masing. Tapi akhi, yang menentukan masa depan kita bukan masa-masa lalu tu, sebab itu semua dah lepas. Tapi, masa sekarang. Sejauh mana kita benar-benar menyesal dan berbuat sesuatu untuk itu.
“Setiap anak Adam pasti berbuat dosa, dan sebaik-baik orang yang berbuat dosa adalah orang yang mahu bertaubat."
[HR Ahmad]
Kalau terbuat lagi?
Taubat!
Terbuat lagi?
Taubat!
Sampai bila?
Taubat sampai kau mati, sebab bila kau dah mati nanti, mustahil dah untuk engkau berbuat dosa selepas itu.
“Seorang telah melakukan dosa, lalu dia berkata: “Wahai Tuhanku, ampunilah dosaku.” Lalu Allah SWT berfirman: “Hamba-ku telah melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya (dalam riwayat lain ditambah: Aku ampunkan dosanya)”. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: “Wahai Tuhanku, aku telah melakukan dosa … ampunilah dosaku.” Lalu Allah SWT berfirman: “Hamba-ku telah melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya (dalam riwayat lain ditambah: Aku ampunkan dosanya)”. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: “Wahai Tuhanku, aku telah melakukan dosa … ampunilah dosaku.” Lalu Allah SWT berfirman: “Hamba-ku telah melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya maka Aku ampunkan hamba-Ku ini, buatlah apa yang kau mahu Aku ampunkan engkau.”
[HR al-Bukhari dan Muslim, dan lafaz adalah lafaz Muslim]
Allah menantikan kepulangan dirimu..
Dari Abu Hurairah RA., katanya, bersabda Rasulullah SAW:
“Berfirman Allah Yang Maha Agung: Aku berada dalam sangkaan hamba-Ku tentang Aku, dan Aku bersama-nya ketika ia menyebut Aku. Bila ia menyebut Aku dalam dirinya, Aku menyebut dia dalam Diri-Ku. Bila ia menyebut Aku dalam khalayak, Aku menyebut dia dalam khalayak yang lebih baik dari itu. Bila ia mendekat kepada-Ku satu jengkal, Aku mendekat kepadanya satu hasta. Bila ia mendekat kepada-Ku satu hasta, Aku mendekat kepadanya satu depa. Bila ia datang kepada-Ku berjalan kaki, Aku datang kepadanya berlari-lari.”
[HR Bukhari, Muslim, Ibn Majah, At-Tirmidzi, Ibn Hanbal]
Cuma sekarang terpulang kepada dirimu. Adakah kau mahu atau tidak pulang kembali kepada Allah..
“Katakanlah: “Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa: sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
[QS az-Zumar, 39:53]
Mungkin kita merasakan diri kita tidak layak untuk berbuat kebaikan. Kemudian duduk bersama-sama dengan mereka yang mahu berbuat kebaikan.
Maka, hayatilah kisah dari Abu Said Al-Khudriy r.a, Rasulullah SAW bersabda,
"Seorang lelaki dari kalangan umat sebelum kamu telah membunuh seramai sembilan puluh sembilan orang manusia, lalu dia mencari seseorang yang paling alim. Setelah ditunjukkan kepadanya seorang pendeta, dia terus berjumpa pendeta tersebut kemudian berkata:
"Aku telah membunuh seramai sembilan puluh sembilan orang manusia, adakah taubatku masih diterima?
Pendeta tersebut menjawab:
"Tidak!"
Mendengar jawapan itu, dia terus membunuh pendeta tersebut dan genaplah seratus orang manusia yang telah dibunuhnya.
Tanpa putus asa dia mencari lagi seseorang yang paling alim. Setelah ditunjukkan kepadanya seorang Ulama, dia terus berjumpa Ulama tersebut dan berkata:
"Aku telah membunuh seramai seratus orang manusia. Adakah taubatku masih diterima?"
Ulama tersebut menjawab:
"Ya! Siapakah yang boleh menghalang kamu dari bertaubat? Pergilah ke Negeri si fulan, kerana di sana ramai orang yang beribadat kepada Allah. Kamu beribadatlah kepada Allah SWT bersama mereka dan jangan pulang ke Negerimu kerana Negerimu adalah Negeri yang sangat hina."
Lelaki tersebut beredar menuju ke tempat yang dinyatakan. Ketika berada di pertengahan jalan tiba-tiba dia mati, menyebabkan Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab bertelingkah mengenainya. Malaikat Rahmat berkata:
"Dia datang dalam keadaan bertaubat dan menghadapkan hatinya kepada Allah SWT."
Manakala Malaikat Azab pula berkata:
"Dia tidak pernah melakukan kebaikan."
Lalu Malaikat yang lain datang dalam keadaan berupa manusia dan cuba menghakimi mereka sambil berkata:
"Ukurlah jarak di antara dua tempat. Mana yang lebih hampir, itulah tempatnya."
Lantas mereka mengukurnya. Ternyata mereka dapati lelaki tersebut lebih hampir kepada negeri yang ditujunya. Akhirnya dia diambil oleh Malaikat Rahmat.
[Hadis Riwayat Imam Muslim: hadis ke 4967]
Orang yang berdosalah orang perlu duduk bersama orang yang berbuat kebaikan. Walaupun orang yang berbuat kebaikan itu bukanlah malaikat, tapi at least mereka lebih mulia di sisi Allah jika dibandingkan dengan kaki maksiat yang tidak pernah rasa malu dan mahu bertaubat.
"Sesungguhnya Allah menghamparkan tangan-Nya di waktu malam untuk memberi taubat kepada orang yang berbuat dosa pada waktu siang, dan Dia juga menghamparkan tangan-Nya di waktu siang untuk memberi taubat orang yang berbuat dosa di waktu malam."
[HR Muslim]
Pulanglah kepada Allah..."Belum tibakah waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk secara khusyuk mengingat Allah dan mematuhi kebenaran yang telah diwahyukan (kepada mereka)? Dan janganlah mereka (menjadi) seperti orang-orang yang telah menerima Kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras, dan banyak di antara mereka menjadi orang-orang fasik."
[QS Al-Hadid, 57:16]